Kenali Ubat Anda : Suplemen kesihatan vs Ubat Tradisional

Assalamualaikum
Apakah itu suplemen kesihatan? 

Menurut USFDA, suplemen kesihatan merupakan produk yang mengandungi bahan-bahan seperti vitamin, mineral, makanan, botanikal, asid amino dll. Produk ini diambil sebagai tambahan kepada pengambilan bahan-bahan ini secara biasa (makanan harian ataupun proses semulajadi dalam badan). Suplemen kesihatan ini boleh didapati dalam bentuk kapsul, tablet, serbuk, ataupun dalam bentuk cecair yang diambil secara oral.
Sebagai contoh, vitamin secara semulajadinya adalah bahan organik yang diperlukan oleh badan dalam kuantiti yang sangat kecil. Vitamin yang juga dikenali sebagai mikronutrien, berperanan dalam proses tumbesaran normal, pengawalan kesihatan dan pencegahan penyakit. Kebanyakan vitamin membantu dalam pemprosesan protein, karbohidrat dan lemak di dalam badan. Sesetengah vitamin pula membantu tubuh menghasilkan sel-sel darah dan hormon. Biasanya tubuh kita tidak dapat menghasilkan banyak mikronutrien. Disebabkan itu, kita perlu mendapatkannya samada daripada makanan ataupun produk suplemen kesihatan.
Secara umumnya, produk suplemen kesihatan ini diambil dengan tujuan untuk penjagaan kesihatan. Berbanding dengan ubat farmaseutikal yang diambil dengan tujuan untuk menyembuh dan merawat penyakit. 
Perlu diingat, suplemen kesihatan hanyalah makanan tambahan yang membekalkan nutrien kepada tubuh. Anda masih perlu mengamalkan pemakanan makanan seimbang pada setiap waktu hidangan utama (sarapan, makan tengah hari dan makan malam).

Apakah pula ubat tradisional dan komplementari?

Ubat-ubatan tradisional dan komplementari pula ialah sebarang produk yang digunakan dalam pengamalan perubatan asli atau alternatif.  Ubat-ubatan ini mengandungi satu atau lebih bahan-bahan semulajadi yang berasal daripada tumbuhan, binatang, galian, atau bahagian-bahagian daripadanya, dalam bentuk pati ekstrak atau bukan pati ekstrak. Ubat homeopati juga tergolong dalam kumpulan produk tradisional. Tujuan pengambilannya adalah sebagai langkah mencegah, merawat penyakit atau untuk meningkatkan kesihatan dan keadaan diri.

Walaupun produk tradisional dilabelkan sebagai produk semulajadi, ini tidak bermakna penggunaannya selamat dan tidak berbahaya. Ianya juga boleh mendatangkan mudarat sekiranya diambil berlebihan atau secara tidak betul. Peringatan untuk anda juga, sekiranya anda sedang menggunakan ubatan tradisional dan herba, anda perlu memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi kerana ubatan tradisional dan herba boleh berinteraksi dengan ubatan moden dan mendatangkan mudarat. 
Bagi saya, samada suplemen kesihatan mahupun ubat tradisional, kedua-duanya mempunyai kelebihan dan keunikan yang tersendiri. Kedua-duanya dicipta untuk penjagaan kesihatan kita. Saya sendiri pernah mengamalkan kedua-duanya atas alasan yang berbeza. Paling utama, pastikan suplemen kesihatan / ubat tradisional anda adalah halal dan selamat serta berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.  Untuk semak status ubat-ubatan anda, sila klik di sini.
  • USFDA - US Food and Drug Administration
  • Sumber Artikel - Buku ‘Halalkah Ubat Anda” karya Saudara Abd Rahman, b. Pharm 

No comments:

Post a Comment