Kisah Aku [Part 1]



Assalamualaikum

Setiap orang mempunyai kisah hidup mereka sendiri. Begitu juga aku. Dahulu kurasakan hidupku kosong. Tidak punya jiwa, tiada pengisian juga kehidupan yang sia-sia. Sungguh merugikan.. Seringkali kubertanya pada diriku sendiri.. Untuk apakah kehidupan ini? Apakah hak yang aku punya di dunia ini? Sehinggakan kurasakan bahawa tangan, kaki, hati, dan akal yang wujud pada tubuh ku ini juga bukan kepunyaanku. Bayangkan, betapa kacau dan berseliratnya fikiranku di kala itu. Sudah lebih 20 tahun aku hidup di bumi Allah ini, tetapi baru ini pertama kali kuterfikirkan persoalanan ini. Ya Allah, terima kasih kerana masih memberi peluang untuk aku kembali kepada-Mu. 

Iya, waktu itu, sememangnya aku banyak berfikir dan mencari jawapan kepada bermacam-macam pertanyaan. Aisyah, selalu menjadi mangsa persoalanku. Terima kasih, sahabat.. J Seperti biasa, aku selalu menginginkan kebahagiaan yang hakiki, yang aku percaya aku akan mendapatkannya dengan mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Syukur, kumasih punya perasaan itu. Namun, aku takut untuk melakukan perubahan. Aku takut sekiranya aku tidak istiqamah. Aku risau andainya aku hanya melepaskan batok di tangga. Aku khuatir jika Allah melaknat aku kerana kerapkali aku melakukan perubahan, dan kerap kali juga aku kecundang di tengah jalan yang akhirnya membawa aku ke jalan yang lama. 

Sungguh, aku membenci diriku sendiri kerana tidak dapat melawan godaan syaitan. Aku membenci diriku kerana terpengaruh oleh bisikan iblis. Aku benci kerana aku terlalu lemah. Aku solat tetapi aku tidak khusyuk. Sedangkan kutahu solat itu tiang agama. Sudah pelbagai cara aku usahakan untuk mendapatkan solat yang sempurna, tetapi hasilnya tetap sama. Aku semakin marah kepada diriku. Kepalaku semakin dibebankan dengan perasaan-perasaan yang datang bercampur baur. Persoalan-persoalan kehidupan yang semakin tidak terjawab. Yang akhirnya hanya membuatkan diriku semakin kesepian, keseorangan, kesunyian. Aku kasihan pada diriku sendiri. Sangat kasihan.

No comments:

Post a Comment