Kisah Aku [Part 4] - Hati manusia Allah yang pegang

Assalamualaikum w.b.t

Sambungan daripada Kisah Aku Part3

Terlupa untuk aku bercerita. Mengapakah aku boleh terkesan untuk melakukan perubahan-perubahan ini? Pertamanya, aku sering membaca kisah-kisah artis yang telah berhijrah ke arah kebaikan. Wardina Safiyya, Irma Hasmie, Diana Amir, Heliza Helmi dan juga Catriona Ross. Selama ini, aku bertudung, tetapi aku tidak menutup aurat. Kurasakan aku sudah cukup baik apabila bertudung tetapi apabila melihat perubahan yang dilakukan oleh artis-artis berkenaan, aku rasa terpukul. Mereka berusaha untuk menjadi muslimah yang lebih baik. Mereka belajar agama untuk memperbaiki diri dan memajukan diri. Mereka melakukannya kerana Allah. Sedangkan aku? Aku hanyalah aku. Tetap di takuk yang lama tanpa sebarang perubahan. Astaghfirullahalazim.. Ampuni aku Ya Tuhanku. Aku leka, aku alpa, aku lalai pada tanggung jawabku kepada-Mu. Paling kurasakan terkesan adalah semasa membaca penceritaan Catriona Ross :

Catriona Ross :
Semuanya bermula apabila dia menemani sahabat karibnya ke sebuah butik tudung di KLCC pada 14 Julai lalu.Tergerak hatinya mencuba satu tudung dan ketika melihat wajah di cermin, tiba-tiba terbit satu perasaan pelik hingga bergenang air mata. Sepantas kilat ditanggalkan tudung itu.Dia yang dihenyak perasaan pilu, hiba dan syahdu kemudian berpusing ke arah temannya seraya spontan meluahkan hasrat mahu memakai tudung. Luahan itu bagaimanapun mengundang tawa sahabatnya kerana menyangka dia bergurau.

“Ketika memandu pulang ke rumah, saya menangis. Sukar untuk jelaskan perasaan saya ketika itu. Sebak, syahdu, hiba, semuanya bercampur-baur. Saya sedar perasaan pelik yang muncul tiba-tiba itu adalah hidayah dari Allah.Sepanjang perjalanan, saya tak henti-henti mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. Terharu dan rasa istimewa apabila Allah buka pintu hati saya. Memang sebelum itu pernah terfikir untuk menutup aurat tetapi teragak-agak untuk melaksanakannya. Esoknya di rumah, saya gelisah dan rasa serba tak kena. Asyik terfikir untuk memakai tudung dan malamnya saya tidak boleh tidur. Kebetulan pula suami tiada di rumah kerana bertugas di luar Kuala Lumpur, jadi tiada tempat untuk saya mengadu,” katanya sambil menghela nafas panjang.

 Pagi Jumaat (16 Julai lalu), berjam-jam pelakon yang popular menerusi drama rantaian Sephia ini menyelongkar almari mencari hijab namun kecewa apabila yang ada hanya selendang. Dia kemudian menghubungi teman karibnya untuk meminjam tudung. Terkejut dengan permintaan itu, temannya mengajak Cat ke butik untuk belikan beberapa helai tudung. Selesai membuat pembayaran, hijab yang dihadiahkan temannya itu terus disarungkan di kepala.

 “Sejak itu saya terus bertudung. Tekad saya, sekali bertudung Insya-Allah saya akan kekal begitu hingga ke akhir hayat. Itu prinsip yang saya pegang sejak kecil.“Apabila pulang ke rumah, suami menyambut saya di muka pintu dan dia terkejut dengan perubahan itu. Dia bertanya adakah saya benar-benar serius. Selepas berkongsi apa yang saya alami dalam tempoh 48 jam itu, dia ternyata gembira dengan keputusan saya. Banyak nikmat yang Allah beri kepada hamba-Nya dan apa yang saya mohon selama ini dalam doa dimakbulkan. Masih segar dalam ingatan, selepas terbabit dalam nahas jalan raya, saya tidak putus-putus berdoa supaya boleh berjalan semula dan doa itu Allah perkenankan.Kemudian, ada suara sumbang bercakap saya tak boleh hamil kerana mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan itu tetapi Allah makbulkan doa saya. 

Alhamdulillah saya bunting pelamin. Jadi, nikmat Tuhan yang mana lagi nak saya dustakan?
“Saya nekad bertudung kerana tidak mahu terus menerus buta hati. Jiwa saya bagai disiat-siat ketika mendapat hidayah dalam butik itu. Jauh di sudut hati, saya dapat rasakan itu adalah seru daripada Allah. Syukur, saat mula-mula pakai hijab hingga sekarang, hati saya tenang dan damai. Ada rasa bahagia yang tidak boleh dizahirkan dengan kata-kata. Ketenangan itu cuma Allah, saya dan teman sehijrah yang faham,” kata anak jati Kota Bharu Kelantan ini yang menahan air mata daripada mengalir.


Nikmat Tuhan yang mana lagi nak saya dustakan? Aku mula memikirkan kisah aku sendiri. Terlalu banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada diriku juga. Tidak terhitung banyaknya. Aku mempunyai ibu bapa yang sentiasa menyokong diriku. Hanya aku yang selalu buat-buat terlupa akan hal tersebut. Aku mempunyai keluarga yang saling sayang menyayangi dan saling mendokong antara satu sama lain. Sedari kecil, aku mempunyai sahabat-sahabat, rakan-rakan juga kawan-kawan yang sangat setia dan baik terhadap diriku. Aku mendapat pelbagai peluang untuk memperbaiki diriku, hanya aku yang tidak bersungguh-sungguh mengambil peluang tersebut. Sememangnya segala kebaikan itu datangnya daripada Allah dan kelemahan itu adalah dari diriku sendiri. 

No comments:

Post a Comment