Teknik Penyusuan Susu Ibu yang Betul

Assalamualaikum w.b.t

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 233)

Alhamdulillah, sekarang ni kalau kita perasan, kebanyakan ibu telah memilih untuk menyusukan anaknya sendiri, berbanding menggunakan susu formula. Kelebihan susu ibu telah pun dibincangkan sebelum ini melalui entry Kebaikan Penyusuan Susu Ibu. (Kalau nak tahu, boleh klik kat link tu ye). Tapi, nak menyusukan anak pun perlukan teknik juga. Bukanlah main acu je kat mulut anak, betul tak?  

Jadi, untuk memastikan kejayaan penyusuan susu ibu, bayi perlu diletakkan dengan betul ke payu dara ibu. Biasanya, posisi dan cara meletakkan bayi ke payu dara datang secara semulajadi tetapi terdapat ibu dan bayi yang memerlukan masa dan latihan. Untuk melakukan dengan betul berikut adalah langkah - langkah yang boleh membantu:
① Posisi
② Pelekapan
③ Tanda-tanda pelekapan yang salah
④ Penilaian samada bayi menyusu dengan baik

❆❆❆❆❆❆❆❆❆❆

① Posisi
  • Pegang bayi rapat ke arah badan dan payu dara ibu.
  • Pastikan kepala dan badan bayi lurus.
  • Ampu bahagian belakang dan punggung bayi dengan kemas.
  • Anda boleh memegangnya dengan pelbagai cara asalkan anda merasa selesa.

 
Duduk dan letakkan satu atau dua bantal untuk mengampu bayi anda.


Baring mengiring dan bayi menghala kepada ibu. (Berhati - hati tidak tertidur dalam posisi ini untuk elak bayi lemas)


② Pelekapan

Rapatkan bayi ke payu dara (bukan payu dara ke bayi). Rapatkan seluruh badan bayi ke dada bukan hanya bahagian kepala. Pastikan seluruh bahagian tampok hitam (areola) masuk ke dalam mulut bayi.

 Anda boleh membantu bayi melekap dengan memegang payu dara dengan tangan. Pastikan ibu jari jauh dari areola dan tidak menekan payu dara.


③ Tanda-tanda pelekapan yang salah

Jika penyusuan berjalan lancar, puting ibu tidak mudah cedera kerana puting berada jauh ke dalam mulut bayi. Kebanyakan masalah yang dialami ibu adalah kerana posisi dan cara pelekapan yang tidak betul. Berikut adalah tanda - tanda pelekapan yang tidak betul dan boleh mengakibatkan masalah semasa penyusuan:

  • Puting kelihatan leper semasa dikeluarkan dari mulut bayi selepas penyusuan.
  • Rasa sakit di puting semasa dan selepas penyusuan.
  • Payu dara mungkin bengkak.
  • Susu tidak dikeluarkan dengan berkesan.


Gambar menunjukkan bayi yang tidak melekap dengan betul. Ini boleh mengakibatkan masalah seperti kebengkakkan payu dara dan puting melecet.


④ Penilaian samada bayi menyusu dengan betul

Gambar ini menunjukkan bayi menyusu dengan cara yang betul
  • Mulut bayi terbuka luas.
  • Dagu bayi menyentuh payu dara.
  • Bibir bawah bayi bergulung keluar.
  • Hidung bayi terletak pada payu dara dan bayi boleh bernafas.
  • Bayi menghisap, berhenti sejenak dan menghisap semula. Hisapan secara perlahan dan dalam.
  • Ibu boleh mendengar bunyi bayi menelan susu.


Gambar menujukkan apa yang berlaku di dalam mulut bayi ketika penyusuan jika bayi melekap dengan betul.

① Puting 
② Areola dan tisu payu dara dengan duktus susu dibahagian bawah areola. 
③ Lidah bayi 
④ Payu dara 
⑤ Tekak bayi

Finally dapat juga siapkan entry ni. Kepada para ibu, selamat menjayakan penyusuan bayi anda. Info-info ni semua adalah daripada Portal MyHealth. 

No comments:

Post a Comment