Petua untuk menjaga kulit ekzema


Assalamualaikum w.b.t
Hari ini kita cerita tentang ekzema pula ye. Hasil daripada pembacaan saya mendapati permintaan untuk merawat ekzema di Malaysia ni  dah meningkat sebanyak 20 peratus sejak tahun 2001, terutamanya yang melibatkan kanak-kanak. Banyak tak banyak 20% tu?

Ekzema ni merupakan sejenis penyakit genetik yang dikaitkan dengan sistem pertahanan diri seseorang yang bertindak balas secara serius terhadap punca yang mengakibatkan alahan. Ini menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan dan gatal dan rasa pedih. Bagi ekzema tahap ringan ke sederhana, masalah ini mengakibatkan kulit kering, panas dan gatal, manakala dalam kes-kes yang serius, ia menjadi merekah dan boleh mengakibatkan pendarahan.

Beberapa faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kes adalah seperti peningkatan suhu dan kelembapan disebabkan perubahan cuaca. Lain-lain faktor termasuklah pencemaran alam sekitar, penggunaan pelbagai bahan tambahan kimia, bahan cuci kasar, logam dan kosmetik yang boleh mendatangkan alergi kepada individu yang mudah mengidap ekzema.

Antara petua untuk menjaga kulit ini adalah:

1)     Hadkan penggunaan produk isi rumah
Sebaik-baiknya elakkan penggunaan produk isi rumah seperti pembersih, detergen, losen lepas mencukur, sabun, gasolin dan turpentin. Produk seperti ini cenderung menyebabkan iritasi kulit
2)     Pakai sarung tangan
Sarung tangan plastik atau sarung tangan vinil boleh melindungi kulit daripada terdedah kepada bahan-bahan yang berupaya menjejaskan kesihatan kulit
3)     Kain kapas atau kombinasinya
Fabrik bulu atau sesetengah tekstil sintetik boleh menyebabkan iritasi kulit. Mereka yang mempunyai kulit sensitif akan berasa lebih selesa mengenakan pakaian yang diperbuat daripada kapas atau kombinasi kapas
4)     Sewaktu mandi
Mandi dengan hanya menggunakan sabun lembut tanpa pembersih yang boleh digunakan dengan atau tanpa air. Kekalkan suhu air pada kadar dingin atau suam dan bukan panas. Berendam dalam tab mandi untuk seketika adalah baik untuk kulit. Ini kerana lapisan luar kulit boleh menyerap air dan mengelakkan kekeringan. Seboleh-bolehnya rendam selama 15-20 minit. Kemudian gunakan tuala lembut untuk mengelap kulit. Jangan sesekali menggaru kulit. Sebaik sahaja selesai mencukur, sapukan pelembab pada kulit anda. Ini dapat mengekalkan tahap kelembapan kulit
5)     Amalkan ubat doktor
Apabila keadaan ekzema anda sudah bertambah buruk, gunakan ubat yang diberikan doktor. Jika perlu, dapatkan nasihat doktor segera sekiranya keadaan tidak pulih selepas 3 minggu ubat itu digunakan
6)     Losen pelembab
Menjadikan kulit lebih lembut dan fleksibel. Elakkan pelembab yang mengandungi pewangi dan pelbagai perisa tambahan. Bentuk krim ini sesuai untuk kulit bermasalah khasnya kulit kanak-kanak. Ini kerana kandungannya yang tidak berminyak dan mengandungi agen anti-keradangan yang sesuai dengan kesan pelembab dan boleh memanfaatkan kulit ekzema. Amalkannya setiap hari
7)     Menggaru
Elakkan daripada mengganggu kawasan yang terdedah biarpun gatal. Menggaru boleh menyebabkan kulit merekah. Sebaliknya, gunakan pelembab untuk menangani kegatalan tersebut. Pakaikan sarung tangan pada bayi bagi mengelakkan si kecil daripada menggaru
8)     Berpeluh
Kepanasan atau berpeluh melampau boleh mengakibatkan kegatalan kulit. Jika boleh, elakkan aktiviti yang boleh membuatkan anda berasa terlalu panas dan berpeluh secara berlebihan
9)     Tekanan
Belajarlah cara untuk mengenal pasti dan berdepan dengan tekanan. Teknik pengurangan tekanan sedikit sebanyak boleh membantu mengatasi masalah ini daripada bertambah teruk
10)Penjagaan khas
Bahagian yang terjejas akibat ekzema akan mudah menerima kesan iritasi. Ini bermakna penjagaan khas masih diperlukan.


Sebaik-baiknya, teruskan tip-tip ini biarpun selepas kulit anda sudah pulih sepenuhnya. Moga bermanfaat buat semua.. :)

No comments:

Post a Comment