Soal jawab tentang penyusuan susu ibu


Assalamualaikum w.b.t
Berikut disenaraikan soalan-soalan lazim yang kerap ditanya oleh bakal ibu2. Al-maklumlah, bila bakal ibu menyusu ini menghadapai masalah tentang penyusuan, ramai yang akan memberikan maklumat dan nasihat yang berbeza; dan kadang-kadang bercanggah dengan konsep penyusuan itu sendiri.

[Maklumat di bawah ni diperoleh daripada ‘Buku Penyusuan Susu Ibu : Yang terbaik buat si manja dan anda’ siri ke-3, terbitan Kementerian Kesihatan]

Q : Adakah benar jika saya tidak menghasilkan kolostrum semasa mengandung, saya tidak akan berupaya menghasilkan susu?
A : Tidak benar. Ramai wanita menghasilkan kolostrum hanya selepas bersalin, dan masih dapat menyusu dengan sempurna.

Q: Jika buah dada saya tidak membesar semasa saya mengandung, atau jika saya mempunyai buah dada yang kecil, bolehkah saya menyusu bayi?
A : Sudah tentu. Ramai wanita yang tidak akan mengalami sebarang perubahan pada buah dada mereka tetapi masih boleh menyusu bayi mereka. Saiz buah dada tiada kaitannya dengan keupayaan menyusu.

Q : Adakah saluran-saluran susu akan tersumbat jika saya tidak memerah kolostrum keluar semasa mengandung?
A : Tidak. Biasanya susu akan tetap mengalir walaupun kolostrum tidak dikeluarkan. Anda mungkin perlu memerah susu untuk disimpan selepas bersalin, jadi eloklah anda mempelajari cara melakukannya.

Q : Jika bayi saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Bayi, bolehkah saya menyusuinya?
A :  Sudah tentu. Bayi dalam ‘Jagaan Rapi’ lebih memerlukan susu. Beritahu kakitangan di unit itu bahawa anda ingin menyusu bayi anda. Jika bayi anda tidak boleh menghisap, mereka akan tunjukkan cara memerah susu untuk bayi anda.

Q : Haruskah saya menjauhi makanan tertentu?
A : Pada lazimnya, anda boleh mengambil makanan biasa anda.

Q : Mungkinkah susu saya terlalu cair untuk bayi saya?
A : Tidak. Bila susu mulai mengalir, kepekatannya kadangkala berubah daripada berkrim kepada berair. Keadaan ini adalah normal

Q : Mungkinkah susu saya boleh kering?
A : Ini boleh berlaku tetapi keadaan ini mungkin dapat diatasi jika bayi anda dibenarkan menghisap susu bila diingininya, anda sentiasa tenang dan tidak cemas, mengamalkan pemakanan seimbang dan berehat dengan secukupnya.

Q : Haruskah saya melibatkan suami saya dalam penjagaan bayi?
A : Sudah tentu, pada wal-awal lagi bincanglah bersama tentang bagaimana anda akan menyusukan bayi nanti.

Q : Bolehkan penyusuan susu ibu menjejaskan buah dada saya?
A Tidak. Bila wanita mengalami perubahan pada ukuran buah dada selepas bersalin, kemungkinan besar ini kerana otot-otot yang menyokong buah dada mereka dibiarkan kendur. Untuk mengelakkan perkara ini, pakailah coli yang boleh mengampu dengan baik dan bersenan untuk menguatkan otot-otot di dada.

Q : Bolehkan saya menyusu bayi selepas bersalin secara pembedahan ‘caesarian’?
A : Anda masih boleh memegang dan menyusu bayi sebaik sahaja selepas bersalin, walaupun anda mungkin memerlukan bantuan. Anda terpaksa baring di katil untuk beberapa jampertama, tetapi anda digalakkan bangun dan bergerak selepas itu untuk mempercepatkan pemulihan.

Q : Haruskah saya menyusu bayi di waktu malam?
A : Adalah lebih baik menyusu bayi di waktu malam selagi dia mahu. Cara yang paling mudah ialah membiarkan bayi tidur bersama anda, jadi dia boleh menyusu tanpa mengganggu anda. Menyusu di waktu malam memberi bayi anda lebih masa untuk menetek. Ini akan membantu mengekalkan bekalan susu dan jika anda tiada di rumah pada waktu siang, bayi anda boleh mendapatkan kebanyakan susu yang diperlunya pada waktu malam.

Q : Haruskah saya memberi bayi saya air, glukosa atau jus buah-buahan?
A : Untuk 4-6 bulan pertama, bayi anda tidak memerlukan makanan atau cecair lain selain daripada susu ibu.

Q : Bolehkah saya menyusu dengan puting yang tenggelam?
A : Ya. Ingatlah bahawa bayi mendapat susu dari buah dada; bukannya puting. Oleh itu, galakkan bayi anda menghisap sebanyak mungkin buah dada anda, mulai dari penyusuan pertama. Semasa menetek, bayi akan menghisap puting dengan kuat dan ini membantu memulihkan puting yang tenggelam.

Nota 1 : Sekiranya anda menghadapi sebarang kemusykilan tentang penyusuan susu ibu, cepat-cepatlah dapatkan nasihat doktor ataupun nurse dari klinik yang berdekatan.

penyusuan susu ibu

Nota 2 : Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan softcopy buku ‘Penyusuan Susu Ibu: Yang terbaik buat si manja dan anda’ siri ke-3, terbitan Kementerian Kesihatan ini, sila tinggalkan alamat emel di ruangan comment.

Terima kasih.

Berminat untuk mendapatkan suplemen Shaklee?
Hubungi Pengedar Shaklee Anda (Farah);
sms/whatsapp : 017-6734603
emel : diana_1112@yahoo.com  

No comments:

Post a Comment