Benarkah fibroid jejas kesuburan wanita?

Assalamualaikum w.b.t

Menjadi seorang ibu adalah impian setiap wanita yang sudah mendirikan rumah tangga, tetapi kadangkala terdapat kekangan mungkin dari pelbagai faktor sedia ada. Sebagai seorang wanita yang sayangkan diri dan keluarga, anda patut ambil tahu akan segala pemasalahan kesihatan agar kebahagiaan sentiasa mengiringi kehidupan.

① Apakah yang dimaksudkan dengan fibroid? Bagaimana ia boleh berlaku? Adakah ia berbahaya?
Fibroid adalah ketumbuhan biasa atau ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim. Sehingga kini, tidak diketahui penyebab sebenar berlakunya fibroid.  Namun terdapat pendapat yang mengaitkan fibroid dengan faktor genetik dan pendedahan terhadap hormon estrogen yang berlebihan.

Fibroid secara amnya tidak berbahaya, kerana risiko kanser di antara 0.1-0.5% sahaja. Namun, ia boleh memberi masalah kepada pengidapnya sekiranya ia menyebabkan kedatangan haid yang sangat kerap, banyak atau berpanjangan. Sekiranya ini berlaku, ia akan menyebabkan wanita tersebut kekurangan sel darah merah (dipanggil anemia). Anemia yang teruk boleh mengancam nyawa. Selain itu, ada fibroid yang boleh menyebabkan rasa sakit pada perut, masalah sembelit, kerap kencing atau mengalami masalah kesuburan.

② Siapakah yang berisiko menghidap masalah fibroid ini? Adakah ianya sejenis penyakit keturunan?
Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20% wanita dalam lingkungan usia subur (iaitu di antara 30 - 40 tahun), menghidap fibroid. Di antara risiko mendapat fibroid, selain faktor usia, adalah wanita yang tidak pernah hamil, kegemukan, sindrom ‘polycystic ovary’, kencing manis dan darah tinggi.

Ia bukan sejenis penyakit keturunan, namun ia boleh berlaku pada beberapa ahli kelurga terdekat, mungkin secara kebetulan atau berkongsi persekitaran yang sama.

③ Bagaimanakah fibroid ini boleh menjejas kesuburan? Apakah simptom-simptom yang boleh dikenalpasti?
Fibroid boleh menjejas kesuburan sekiranya ianya menyebabkan sumbatan pada tsaluran fallopia, atau menggangu stuktur rahim disebabkan bilangannya yang banyak, atau saiznya yang besar atau kedudukannya yang mengganggu lapisa dinding rahim, yang mnyebabkan persenyawaan sukar untuk berlaku atau janin sukar untuk melekat dan membesar di dalam rahim.


Kebanyakan fibroid tidak mempunyai sebarang simptom. Namun sekiranya ia berlaku, simptom yang kerap berlaku adalah masalah senggugut dan haid yang kerap atau berpanjangan atau terlalu banyak.

④ Apakah masalah ini boleh dirawat? Apakah rawatan yang boleh dibuat?
Masalah yang disebabkan fibroid seperti senggugut atau haid yang banyak, boleh dikawal dengan ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit, atau ubat hormon. Sesetengah ubat boleh mengecilkan saiz fibroid tersebut, namun sekiranya rawatan tersebut dihentikan, fibroid itu boleh kembali ke saiz asal semula. Oleh itu, rawatan sebenar fibroid adalah pembedahan bagi membuang ketumbuhan tersebut.

Namun begitu, harus diingat, tidak semua fibroid perlu dibedah dan terdapat risiko sebanyak 20-30% yang fibroid tersebut boleh berlaku kembali pada masa akan datang. Pakar Sakit Puan akan memeriksa dan berbincang dengan pesakit sama ada fibroid tersebut perlu dibedah atau tidak.

⑤ Adakah rawatan fibroid boleh menjejaskan proses mendapatkan anak?
Fibroid sangat menyukai hormon estrogen. Oleh itu, kebanyakan ubat yang digunakan untuk rawatan mengawal tumbesaran atau simptom fibroid adalah ubat hormon yang mengehadkan hormon ini. Oleh itu, rawatan ini akan menyebabkan wanita tersebut tidak subur, justeru menjejaskan proses mendapatkan anak.

Mungkin bagi wanita yang mempunyai masalah fibroid yang mendatangkan masalah, tetapi pada masa yang sama ingin mendapatkan anak, rawatan yang lebih sesuai ialah melakukan pembedahan membuang fibroid tersebut.

Sumber : Majalah Pengantin, November 2013, ms 266-267

No comments:

Post a Comment