Kenali Denggi



Assalamualaikum w.b.t

Dalam tempoh sebulan ni, 2 orang kawan sepejabat saya kene admitted di hospital akibat denggi. Bila bertanya kepada Pegawai Kesihatan yang datang buat pemeriksaan di sebuah kawasan perumahan pula, katanya 8 orang daripada 10 penduduk taman itu disyaki terkena jangkitan denggi. Pada saya ini adalah sesuatu yang serius! Berikut saya sertakan maklumat denggi terkini (sehingga 6 Feb 2014):

Statistik denggi
 Untuk dapatkan maklumat terkini, klik di sini.




Disebabkan peningkatan kes denggi di negara kita sekarang ni, mari saya kongsikan serba sedikit info tentang denggi dan nyamuk aedes.


APA ITU DEMAM DENGGI

Merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Denggi (genus Flavivirus) yang disebar oleh  nyamuk Aedes betina. Cara penyebarannya ialah melalui gigitan nyamuk aedes orang yang berpenyakit virus denggi, kepada orang yang sihat. Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS).

Virus Denggi akan berada di dalam badan pesakit selama 3 - 14 hari (purata 4 - 6 hari) sebelum menunjukkan tanda-tanda. Pesakit mungkin akan mengalami demam mengejut diikuti dengan berbagai-bagai tanda dan gejala tidak khusus.

Bagaimanakah terjadinya demam denggi?

Vektor demam denggi adalah nyamuk Aedes betina. 

Nyamuk aedes
 
Nyamuk yang telah dijangkiti membawa virus denggi di dalam badannya. Virus ini kemudiannya dipindahkan kepada manusia semasa proses menghisap darah. Sebaik sahaja seseorang itu digigit, virus denggi akan memasuki dan beredar di dalam aliran darahnya, maka bermulalah penyakit ini.

Apakah penyebab demam denggi?

Penyakit demam denggi berpunca dari 4 jenis virus denggi yang dipindahkan kepada manusia melalui nyamuk Aedes yang telah dijangkiti.

Pada asasnya terdapat 4 jenis virus denggi iaitu flavivirus DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Semua nyamuk Aedes berupaya bertindak sebagai vektor virus denggi sebelum memindahkannya kepada manusia. Walau bagaimanapun, vektor utama virus ini ialah nyamuk Aedes Aegypti. Vektor lain adalah seperti nyamuk Aedes Albopictus yang merupakan vektor virus denggi di kawasan bandar.

BAGAIMANA DEMAM DENGGI BOLEH BERJANGKIT?

Demam denggi didapati berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya di negara-negara rantau tropika. Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat denggi. Demam denggi menyerupai demam selsema dan ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur pesakit.

Pemindahan penyakit:

Virus denggi dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang membawa virus denggi.

Nyamuk berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 - 12 hari selepas menghisap darah manusia (perumah).

Nyamuk betina yang dijangkiti virus denggi boleh memindahkan virus tersebut ke generasi seterusnya melalui pemindahan transovarial (melalui ovari).

Manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi walaupun terdapat kajian menunjukkan di beberapa bahagian tertentu di dunia, monyet boleh dijangkiti dan menjadi sumber virus bagi nyamuk yang belum dijangkiti.

Virus denggi dari perumah pertama (mangsa pertama) hanya dapat menjangkiti/dipindahkan ke perumah kedua 18 jam sebelum suhu badan meningkat dan sekurang-kurangnya 3 hari selepas timbulnya gejala penyakit.

APAKAH TANDA-TANDA DEMAM DENGGI?

Demam kuat yang mengejut dan berterusan
Bintik merah pada kulit
Sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot, sendi-sendi, biji mata dan kepala
Berdarah pada badan, hidung dan mulut
Hilang selera makan
Muntah-muntah
Sakit perut
Rasa pahit pada lidah
Lemah dan tidak bermaya

Bagaimana cara untuk mencegah denggi?

① Lindungi diri anda dari gigitan nyamuk
Untuk mengelak dari gigitan nyamuk, seseorang itu perlulah mengetahui tabiat makan nyamuk dan menggunakan bahan penghindar nyamuk pada kulit yang terdedah apabila perlu. Pakai pakaian yang menutupi kebanyakan bahagian tubuh kerana ini boleh melindungi dari gigitan nyamuk. Pasangkan jaring nyamuk dan skrin pada tingkap untuk mencegah nyamuk dari memasuki rumah.

② Elakkan dari membuat lawatan ke kawasan berisiko tinggi di waktu siang
Jalan terbaik ialah mengelak dari bertandang ke kawasan berisiko (kawasan bandar) di siang hari. Ini adalah kerana nyamuk Aedes bukanlah serangga malam. Waktu puncak ia mencari makan ialah di awal pagi dan awal senja.

③ Musnahkan tempat pembiakan nyamuk
Cara lain untuk mencegah denggi ialah dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Nyamuk Aedes membiak dalam tempat-tempat takungan air seperti tayar buruk dan bekas menyimpan air. Anda juga perlu selalu menukar air dalam pasu bunga dan bekas air minum haiwan peliharaan untuk mencegah nyamuk dari membiak. Apa yang anda dan keluarga perlu lakukan ialah:
  • Tutup dengan rapat semua bekas air seperti baldi, bejana air dan tong-tong atau masukkan ubat pembunuh jentik-jentik ke dalamnya.
  • Salin air dalam jambangan bunga setiap minggu.
  • Buangkan air dan basuh pengalas pasu bunga setiap minggu.
  • Periksa saluran air hujan (saluran bumbung) setiap minggu dan buang daun-daun kayu atau sampah sarap lain yang menyekat aliran air.
  • Bersihkan persekitaran rumah anda. Buangkan semua bekas atau benda yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong dan botol ke dalam beg plastik dan letakkan dalam tong sampah yang bertutup.
④ Hapuskan nyamuk Aedes dewasa
Anda boleh menggunakan penyembur serangga bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah. Melakukan semburan menyeluruh bahagian rumah. Untuk lebih berkesan, semburan perlulah dilakukan ke seluruh bahagian dalam rumah. Anda juga boleh menggunakan ubat nyamuk untuk mengelakkan anda dan keluarga dari digigit nyamuk.

♥♥♥ Nyamuk aedes ni membiak dalam takungan air jernih samada dalam ataupun  di luar rumah. Ia tak boleh membiak dalam air yang kotor. Jadi, antara usaha yang boleh kita sumbangkan untuk mengurangkan kes denggi ni termasuklah membuat sistem pemantauan dan pemeriksaan kawasan rumah untuk mencari dan memusnahkan jentik-jentik.

Kesimpulannya, MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MERAWAT.



4 comments:

  1. ngeri la kena denggi... saya penah kena sekali... iskk!

    ReplyDelete
  2. sediakan ridsect sebelom denggi. haha

    singgah2 la sini :)

    ReplyDelete
  3. Hye, saya suka baca blog awak, baru2 ni saya baru blog harap awk boleh singgah dan follow blog saya. awksweetgitu.blogspot.com :)

    ReplyDelete
  4. Semakin hari semakin meningkat kes Denggi ni, harap pihak berkuasa tangani la masalah ini secara lebih aggerasif lagi.

    ReplyDelete