Ketahui punca serangan kanser payudara



Assalamualaikum w.b.t

Secara purata, seorang wanita di Malaysia mempunyai 1 per 19 kemungkinan untuk mendapat kanser payudara dalam hayat mereka.  Ini bermakna seramai hampir 700,000  kaum wanita di seluruh Malaysia berhadapan kemungkinan untuk dihantui gejala ini.

Faktor penyumbang dan langkah pencegahan kanser payudara berlaku apabila sel-sel dalam tisu payudara berkembang secara tidak terkawal. Jika dibiarkan berlarutan, kanser payudara boleh merebak ke bahagian kelenjar limfa dan bahagian badan yang lain seperti tulang, paru-paru dan hati.

Para pengkaji bahawa antara penyebab utama kanser payudara adalah faktor genetik, persekitaran serta cara hidup. Selain itu, banyak faktor sampingan yang peru dititikberatkan terutama oleh golongan wanita seperti:

Jantina (95% lebih tinggi menyerang kaum wanita)
✓Umur (lebih kerap berlaku pada lewat 40-an)
✓Jumlah anak (wanita yang tidak pernah melahirkan anak lebih berisiko)
✓Haid (wanita yang baligh sebelum 12 tahun atau putus haid selepas 55 tahun lebih terdedah)
✓Pemakanan (pengambilan minuman beralkohol sangat berisiko)
✓Penyusuan (menyusukan bayi boleh merendahkan risiko)
✓Berat badan (golongan obes lebih berisiko)

Kanser payudara



Berikut saya senaraikan beberapa soalan yang kerap ditanya kepada Profesor Norlia Abdullah, Pakar Runding Bedah Payudara, Bahagian Bedah Rekonstruksi Payudara, PPUKM.

S : Saya kerap berasa sengal-sengal di bahagian pangkal payudara sebelah kiri (sebelah kanan tidak berasa macam ni). Adakah ini menunjukkan sesuatu? Adakah saya perlu berjumpa doktor dan melakukan pemeriksaan?
J : Di pangkal payudara terdapat otot iaitu pectoralis major. Kadang-kadang perasaan sengal ini berasal dari otot itu iaitu dipanggil myalgia. Ini boleh disebabkan oleh kegiatan fizikal yang berlebihan seperti bersukan menggunakan suatu anggota tangan yang berlebihan seperti badminton, squasy atau tenis.

Ataupun penggunaan otot itu memindah perabot disebabkan baru berpindah rumah atau pejabat. Kadangkala disebabkan kedudukan semasa tidur, seperti mengiring, separa meniarap yang menghimpit sebelah kiri itu. Untuk mendapatkan kepastian, anda disyorkan untuk berjumpa dengan doktor.

S : Saya kerap membaca mengenai penggunaan deodoran yang dikatakan menjadi punca serangan barah payudara. Apa komen doktor? Adakah bahaya atau apakah kesan sekiranya tidak membersihkan deodoran sebelum tidur?
J : Penggunaan deodoran tidak menyebabkan barah payudara.

S : Bagaimana pula jika seseorang itu kerap menyapu bedak di bahagian bawah payudara (untuk elak berpeluh)? Adakah amalan ini lama kelamaan akan memberi risiko serangan barah?
J : Penggunaan bedak tidak menyebabkan barah payudara.

S : Yang mana lebih kerap diserang barah, payudara kanan atau kiri. Mengapa?
J : Kedua-dua belah payudara boleh diserang barah. Kebanyakan kes barah mula dikesan di sebelah sahaja. Kadangkala ada yang dikesan di kedua-dua belah pada masa yang sama.

S : Adakah saya perlu berasa bimbang sekiranya timbul satu bintik yang bewarna pada salah satu payudara? Adakah ini merupakan satu simptom (gejala) serangan barah kerana saya ada membaca salah satu simptomnya ialah ada bintik-bintik pada payudara?
J : Adalah berkemungkinan bintik merah ini bukanlah barah. Akan tetapi, ruam kemerahan yang berpanjangan pada puting dan aerola yang perlu diperiksa oleh doktor. Keadaan ini boleh boleh merupakan sejenis barah payudara dipanggil Paget’s Disease.

S : Benarkah amalan pil perancang dan keguguran meninggikan risiko seseorang wanita untuk diserang barah payudara?
J : Keguguran anak tidak meninggikan risiko mendapat barah payudara. Pangambilan pil perancang jika melebihi setahun sebelum melahirkan anak pertama boleh meninggikan risiko barah payudara. Akan tetapi, tidak jika diambil untuk menjarakkan anak, iaitu setelah melahirkan anak.

S : Menopaus mendedahkan seseorang wanita kepada serangan barah payudara. Apakah yang boleh dilakukan untuk menanganinya? Adakah pengambilan HRT selamat untuk diamalkan kerana wujud banyak perdebatan mengenainya, berdasarkan apa yang dibaca. Apakah yang lazimnya disarankan untuk diamalkan oleh wanita di negara ini?
J : Menopos tidak mendedahkan wanita kepada barah payudara. Menopos adalah proses semulajadi yang dialami oleh semua wanita yang telah baligh. Pengambilan terapi hormon gantian (Hormone Replacement Therapy, HRT) boleh meninggikan risiko seseorang mendapat barah payudara lebih-lebih lagi jika diambil untuk jangka masa lebih dari lima tahun.

Kanser payudara

Terdapat 4 kaedah yang boleh digunakan untuk proses pengesanan barah payudara. Ia termasuklah:

Pemeriksaan sendiri atau Breast Self-Examination (BSE), perlu dilakukan seawal usia 20 tahun
Pemeriksaan yang lebih teliti oleh doktor dan petugas perubatan yang bertanggungjawab
Mamografi bagi wanita yang berumur 40 tahun dan ke atas
Bagi mereka yang belum berumur 40 tahun, tetapi mengesyaki sesuatu yang ganjil, maka rawatan seperti biopsi, MRI dan Ultrasound boleh dijalankan

Sumber : i-Sihat, Mac 2014, ms 34-35

Semoga entry ini bermanfaat buat anda. Terima kasih.

2 comments: